RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas menggesa agar semua tahanan Palestin dibebaskan dari penjara Israel.

"Kita mesti meneruskan tuntutan untuk menangani isu pelarian Palestin dan pembebasan semua tahanan," lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Abbas sebagai berkata ketika majlis perasmian dua projek amal di bandar Ramallah, Tebing Barat.

Hampir 4,550 tahanan Palestin di penjara Israel, termasuk 175 kanak-kanak bawah umur dan 27 tahanan wanita, bersama-sama 670 yang lain ditahan di bawah pentadbiran Israel tanpa tuduhan atau sebarang perbicaraan.

Pada Sabtu, tahanan Palestin mengancam untuk melancarkan mogok lapar bagi membantah penderaan Israel.

Selama bertahun-tahun, tahanan Palestin telah menggunakan mogok lapar untuk menuntut persekitaran hidup yang lebih baik dan menamatkan hukuman penahanan selama-lamanya.

Abbas berikrar bahawa rakyat Palestin tidak akan meninggalkan wilayah yang diduduki mereka.

"Kami tidak akan meninggalkan negara walau apa pun syaratnya," katanya.

Pada 1993, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel menandatangani perjanjian Oslo, yang kononnya memberikan rakyat Palestin satu bentuk pemerintahan sivil, tetapi pelan damai itu gagal menyelesaikan pertikaian negara Palestin.

Rundingan damai antara Palestin dan Israel gagal pada April 2014 apabila Tel Aviv enggan menghentikan pembinaan penempatan dan membebaskan tahanan Palestin yang dipenjarakan sebelum 1993.

-- BERNAMA