GAZA: Kira-kira 70 peratus hospital di Semenanjung Gaza terpaksa menghentikan operasi setelah kempen pengeboman rejim Zionis berlarutan selama hampir dua bulan.

Ketua Pasukan Penilaian Biro Statistik Pusat Palestin, Hossam Khalifa mengesahkan situasi perkhidmatan kesihatan di wilayah itu yang semakin meruncing menerusi wawancara pada Ahad.

"Serangan bertalu-talu rejim Zionis turut memusnahkan kira-kira 250,000 daripada 400,000 unit perumahan di Gaza. Kos kerugian ekonomi di wilayah terkepung itu akibat perang genosid Israel juga mencecah AS$700 juta (RM3.3 bilion) pada Oktober," jelasnya.

Susulan situasi yang semakin membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa tindakan segera untuk memulihkan sistem kesihatan di Gaza yang terjejas teruk akibat kempen pengeboman rejim Zionis.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberi amaran lebih banyak kematian akibat penyakit bakal berlaku di wilayah terkepung itu jika sistem penjagaan kesihatan dan sanitasi gagal dipulihkan.

"Sudah pasti kita akan menyaksikan peningkatan korban akibat penyakit berbanding serangan Israel jika hospital tidak lagi dapat beroperasi," kata jurucakap, Margaret Harris.

Ketika ini, infrastruktur kritikal di wilayah Gaza telah lumpuh akibat kekurangan bahan api selain terus menjadi sasaran bedilan rejim Zionis sejak lebih tujuh minggu lalu.

Pakar juga memberi amaran krisis kemanusiaan akan menjadi lebih buruk selepas rejim Zionis melancarkan semula kempen pencerobohan ganas ke atas wilayah itu pada akhir minggu lalu.

Status kesihatan di utara Gaza juga semakin kritikal dengan hanya tiga hospital yang masih beroperasi, namun ia masih tidak dapat menampung keperluan kesihatan di seluruh wilayah tersebut.

Kemudahan di kawasan itu juga semakin terdesak kerana ketiadaan bantuan perubatan dan bekalan bahan api semakin terhad.

Sementara itu, laporan PBB juga mendapati kempen pengeboman rejim Zionis telah memusnahkan kira-kira 60 peratus kediaman di Gaza.

"Hujan peluru itu turut menjejaskan jalan raya dan infrastruktur penting yang menjadi 'nyawa' penduduk Palestin," jelas laporan itu lagi. - Sinar Harian memetik agensi


* Info:

>WHO telah merekodkan lebih 44,000 kes cirit-birit dan 70,000 jangkitan pernafasan akut.

>Penyakit diarea meningkat sebanyak 45 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Penyakit lain yang berkaitan isu kebersihan juga menunjukkan peningkatan ketara.

>Hampir tiga perempat hospital di Gaza dan dua pertiga klinik penjagaan kesihatan utama terpaksa menutup operasi akibat dibedil atau berdepan krisis bekalan api.

>Keperluan kesihatan penduduk Gaza telah melonjak secara mendadak. Hanya satu pertiga hospital dan klinik utama yang beroperasi untuk menerima kebanjiran pesakit.