ISTANBUL: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan beribu-ribu terpaksa mencari perlindungan ekoran hujan lebat dan banjir yang melanda Filipina pada hujung minggu.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan dalam satu kenyataan memaklumkan, 19 orang masih hilang ketika hujan lebat melanda sekurang-kurangnya lima wilayah melibatkan 13 provinsi, lapor Agensi Anadolu.

Hujan lebat direkodkan di provinsi Camarines Sur dan Misamis Occidental serta wilayah Visayas Timur, Bicol dan Mindanao Utara.

Agensi cuaca Filipina PAGASA berkata angin sejuk dan panas akan terus mencetuskan hujan di Visayas, Caraga, Mindanao Utara, Semenanjung Zamboanga, Basilan, Sulu, Tawi-Tawi dan Palawan yang mungkin menyumbang kepada banjir dan tanah runtuh.

Menurut agensi bencana itu, banjir menjejaskan lebih 23,700 keluarga membabitkan lebih 100,000 individu manakala kira-kira 44,700 orang hilang tempat tinggal dan ditempatkan di 27 pusat pemindahan.

-- BERNAMA