JAKARTA:Kes positif baharu COVID-19 di Indonesia bertambah sebanyak 6,388 pada Sabtu (12 Disember), menjadikan keseluruhan jumlah kes di negara itu sebanyak 611,631 kes sejak pertama kali diumumkan pada awal Mac lalu, lapor media tempatan.

Data daripada Kementerian Kesihatan negara itu juga menunjukkan sejumlah 501.376 kes telah pulih dengan yang terbaru adalah seramai 4,490 orang.

Kes kematian pula bertambah sebanyak 142 orang dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat wabak itu adalah 18,653 orang.

Tambah statistik kementerian itu, kes COVID-19 telah tersebar ke 34 wilayah di Negara Garuda tersebut, dengan lima wilayah mencatatkan penambahan kes baharu etrtinggi iaitu Jawa Barat (1,283 kes), Jawa Tengah (992 kes), Jakarta (951 kes), Jawa Timur (769 kes), dan Yogyakarta (227 kes).

Pihak pemerintah terus mengingatkan rakyat republik itu agar sentiasa mematuhi protokol kesihatan memandangkan bilangan kes positif baharu yang masih dalam angka ribuan setiap hari.

Perintah Kawalan Pergerakan atau dalam istilah tempatannya, Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) juga masih berkuat kuasa di banyak daerah.

Terbaru, pihak pemerintah Indonesia sudah mengesahkan sejumlah 1.2 juta dos vaksin Sinovac ke negara berkenaan, namun keberkesanannya masih diragui sesetengah pihak.