KYIV: Serangan terbaharu Rusia di sebuah perkampungan di Hroza, tenggara Kharkiv, Ukraine telah menyebabkan sekurang-kurangnya 51 orang maut, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Ketika serangan, penduduk di kampung tersebut sedang menghadiri upacara pengebumian seorang penduduk tempatan apabila peluru berpandu dilepaskan sekitar pukul 1.15 waktu tempatan.

Menurut Kementerian Pertahanan Ukraine, tiada sasaran ketenteraan di kawasan berkenaan, sebaliknya, tumpuan dibuat kepada orang awam.

Ketua wilayah Kharkiv, Oleh Synyehubov menggambarkan serangan itu sebagai salah satu "jenayah yang menyayat hati" di kawasan tersebut.

Beliau mengesahkan, semua yang meninggal dunia terdiri daripada penduduk tempatan yang pada tahun 2020 memiliki populasi sebanyak 501 orang.

Ini bermakna, tembakan pada hari Khamis telah membunuh 10 peratus daripada populasi tersebut.

"Daripada setiap keluarga, setiap rumah, terdapat seorang yang hadir (majlis pengebumian)," kata Menteri Dalam Negeri Ukraine, Ihor Klymenko.

Daerah Kupyansk - yang merupakan sebahagian daripada perkampungan tersebut - telah berada di garis depan pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine sejak Vladimir Putin melancarkan pencerobohan sepenuhnya pada bulan Februari tahun lepas.

Ia merupakan pusat bekalan utama bagi pasukan Rusia pada permulaan perang, tetapi Kyiv merebutnya semula pada bulan September 2022 selepas berbulan-bulan pertempuran.

Mengulas serangan terbaharu itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan serangan itu sebagai "jenayah Rusia yang paling kejam".

"Rusia memerlukan serangan- serangan kejam seperti ini hanya untuk satu perkara: untuk menjadikan penghapusan genosid (kaum) sebagai norma baharu bagi seluruh dunia," katanya dalam mesej di aplikasi Telegram.

Serangan terbaharu itu berlaku semasa Zelensky menghadiri sidang pemimpin-pemimpin Eropah di Granada, Sepanyol.

Pada hari Khamis juga, Zelensky meminta pemimpin-pemimpin Eropah agar membekalkan lebih banyak peluru pertahanan udara selain menegaskan, negara-negara lain boleh berterima kasih kepada Ukraine kerana melindungi mereka daripada keganasan Rusia. - Agensi