KERALA, INDIA: Sekurang-kurangnya 41 terbunuh susulan beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan bukit di Kerala, selatan India pada Selasa, dengan angka kematian dijangka terus meningkat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga terjejas selepas jambatan utama di kawasan tersebut runtuh.

Reuters melaporkan, Menteri Hutan Negeri, A K Saseendran berkata situasi disifatkan sebagai serius dan kerajaan telah mengarahkan semua agensi terlibat dalam operasi SAR.

Saseendran menambah, tentera telah diminta membina jambatan sementara bagi menghubungkan kawasan terjejas.

Seorang individu yang terlibat dalam operasi menyelamat memberitahu Reuters bahawa sekurang-kurangnya tiga tanah runtuh berlaku di kawasan tersebut.

.

Sementara itu, akhbar Indian Express melaporkan ratusan orang dikhuatiri terperangkap susulan insiden tersebut.

Dalam masa sama, pejabat Ketua Menteri Kerala dalam satu kenyataan memaklumkan dua helikopter Tentera Udara India telah dikerahkan bagi operasi SAR.

Jabatan Meteorologi India meramalkan hujan lebat di negeri tersebut hari ini.