GAZA: Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ali Zaki, berkata agensi itu mempunyai lebih 40 trak menunggu di sempadan antara Mesir dan Gaza.

Tambahnya, kesemua trak yang membawa barang bantuan bersedia untuk masuk ke Gaza pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, WFP mengedarkan ikan dalam tin dan bekalan makanan lain di Gaza yang sementara konvoi ketiga trak bantuan telah memasuki persimpangan Rafah.

Bantuan kemanusiaan melalui lintasan Rafah hanya bermula pada Sabtu (21 Oktober) selepas berdepan kesukaran berhubung prosedur pemeriksaan yang menyebabkan bantuan terkandas lama di Mesir.

Rafah merupakan lintasan utama keluar masuk Gaza yang tidak bersempadan dengan Israel. Sejak Israel telah mengenakan "sekatan menyeluruh" ke atas kawasan itu sebagai tindakan balas terhadap serangan militan Hamas pada 7 Oktober, Rafah menjadi tumpuan usaha untuk menyalurkan bantuan.

Pegawai PBB berkata kira-kira 100 trak diperlukan setiap hari untuk memenuhi keperluan penting untuk kegunaan penduduk Gaza seperti stok makanan, air dan bahan api dilaporkan semakin berkurangan.