ANKARA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa agar kanak-kanak dilindungi daripada serangan kejam junta Myanmar, lapor Agensi Anadolu.

Tom Andrews, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar, mengeluarkan laporan bahawa sekurang-kurangnya 382 kanak-kanak telah dibunuh atau diseksa kumpulan bersenjata sejak rampasan kuasa tahun lepas.

"Hak kanak-kanak di Myanmar, sama seperti hak kanak-kanak di seluruh dunia, mesti dihormati dan diperakui, bermula dengan hak asasi untuk hidup.

"Tetapi di Myanmar, hak kanak-kanak dan ahli keluarga terbatas. Kanak-kanak bukan sahaja terperangkap dalam pertempuran, tetapi mereka juga menjadi sasaran," menurut laporan itu.

Laporan itu mengesyorkan negara anggota PBB menyelaras usaha untuk menerima pakai prosedur operasi bagi membenarkan tindak balas kemanusiaan segera dan tepat pada masanya serta beralih daripada geran terhad kepada pembiayaan teras.

"Selepas hampir satu tahun setengah pencabulan terhadap hak asasi manusia dan keadaan menjadi semakin buruk, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga Myanmar, adalah jelas bahawa tindak balas masyarakat antarabangsa terhadap krisis di Myanmar telah gagal. Perubahan diperlukan.

"Serangan ganas junta terhadap kanak-kanak, yang didokumenkan dalam laporan ini, adalah sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik secara berterusan terhadap rakyat Myanmar dan berkemungkinan merupakan jenayah perang dan kemanusiaan," menurut laporan itu.

Serangan tentera ke atas penduduk awam telah menyebabkan lebih 250,000 kanak-kanak hilang tempat tinggal, dan lebih setengah juta kanak-kanak menjadi pelarian di negara jiran.

Askar dan pegawai polis telah menyeksa sekurang-kurangnya 142 kanak-kanak sejak rampasan kuasa, menurut laporan yang diterima oleh PBB.

Kira-kira 7.8 juta kanak-kanak tidak mendapat akses pendidikan akibat rampasan kuasa.

Sementara itu, pasukan tentera telah membunuh hampir 2,000 orang sejak rampasan kuasa pada Februari 2021, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik.

-- BERNAMA