ULANG tahun malapetaka loji tenaga nuklear Chernobyl pada tahun 1986 apabila lebih 200 tan bahan api nuklear meletup dalam reaktor diperingati di seluruh dunia pada Rabu, 26 April.

Sejumlah 10 tan bahan cemar nuklear merebak di atmosfera dengan 8.5 juta orang terdedah kepada sinaran radioaktif, kata wakil rakyat Ukraine Ihor Kryvosheyev dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan Ukraine di sini.

Chernobyl terletak di Ukraine, yang merupakan sebahagian daripada Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) sehingga 1991.

Selain wilayah USSR, pencemaran Cesium-137 yang ketara turut dikesan di Sweden, Finland, Austria, Norway, Bulgaria, Switzerland, Greece, dan negara lain yang berada beribu-ribu kilometer dari pusat letupan. 

Kryvosheyev, ketua Jawatankuasa Kecil Mengatasi Kesan Kemalangan Chernobyl, berkata impak malapetaka ini akan menghantui manusia selama ratusan tahun dan oleh itu segala usaha mesti dilakukan untuk mengelakkan perkara seperti itu berulang.

Beliau berkata potensi bencana nuklear lain telah meningkat akibat konfrontasi semasa antara Rusia dan Ukraine.

Menurut beliau, kini terdapat kira-kira 3,000 tan pelbagai jenis bahan api nuklear di Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia, yang berada di bawah kawalan Rusia.

Di beberapa infrastruktur tenaga Ukraine, masih terdapat sekitar 4,000 tan bahan api nuklear.

Sebarang serangan boleh menyebabkan malapetaka pada skala dunia, menjejaskan setiap negara dan setiap benua dan setiap orang di Bumi, kata Kryvosheyev yang mahu masyarakat dunia mengambil tindakan tegas ke atas Rusia.

-- BERNAMA