10,000 dokumen yang mengandungi nama, alamat, nombor telefon serta maklumat keluarga yang dipercayai milik anggota militan Daish (IS) telah didedahkan kepada Sky News, menurut laporan agensi berita berkenaan pada Rabu.

Menurut Sky News, seorang bekas anggota militan berkenaan yang dikenali sebagai Abu Hamed telah menyerahkan dokumen tersebut menerusi satu kad memori yang telah dicuri daripada ketua keselamatan dalaman kumpulan berkenaan.

Ketika menyerahkan dokumen berkenaan, kepada seorang wartawan di Turki, Hamed menjelaskan, dia meninggalkan kumpulan berkenaan kerana menganggap kefahaman berkaitan undang-undang Islam semakin pudar dalam kumpulan itu.

Hamed juga mendakwa kumpulan berkenaan telah berpindah daripada ibu pejabatnya di Raqqa, Syria ke sebuah kawasan padang pasir.

Dokumen berkenaan turut mengandungi borang rekrut militan Daish yang perlu diisi sebelum diterima masuk ke organisasi berkenaan, dan juga beberapa maklumat daripada 51 negara.

Sky News telah memaklumkan perkara ini kepada pihak penguatkuasa,” kata badan penyiaran berkenaan di laman rasminya. Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada kementerian dalam dan luar negara Britain.

Beberapa kandungan dokumen berkenaan mengandungi maklumat lokasi anggota-anggota militan berkenaan, yang berada di sekitar utara Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, dan juga utara Afrika serta Timur Tengah.

Bekas pengarah operasi keganasan global di MI6, Richard Barrett, dalam satu kenyataannya di Twitter berkata, dokumen berkenaan akan menjadi satu sumber berharga kepada penganalisis.


Salinan dokumen berkenaan turut mendedahkan anggota pelatih perlu menjawab 23 soalan yang termasuk pertanyaan mengenai jenis darah mereka, “tahap kefahaman Syariah” dan pengalaman sebelum menyertai militan berkenaan.