Mahkamah di Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 183 ahli kumpulan Muslim Brotherhood termasuk ketuanya, Mohamed Badie pada Sabtu.

Demikian menurut seorang pendakwa raya sejurus selepas perbicaraan beramai-ramai yang telah mencetuskan bantahan antarabangsa.

Mahkamah di bandar Minya itu pada mulanya menjatuhkan hukuman mati kepada 683 orang, namun pada Sabtu, empat orang daripada mereka diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup termasuk dua wanita dan 496 orang yang lain dibebaskan.

Sejak tentera mengambilalih tampuk pemerintahan Presiden Mohamed Morsi pada Julai tahun lepas, beratus-ratus penyokong Morsi termasuk Badie, dijatuhi hukuman mati.

Hukuman tersebut telah mendapat tentangan rakyat tempatan serta badan hak asasi manusia.

Perbicaraan berlangsung selama 15 minit dan antara tuduhan yang dibacakan adalah terlibat dalam pembunuhan dan cubaan membunuh polis ketika pertempuran di Kaherah pada 14 Ogos di mana polis membunuh beratus-ratus penyokong Morsi.

Keputusan pada Sabtu itu dibuat selepas keputusan awal mahkamah dirujuk kepada Ulama Islam Mesir sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang negara tersebut.

Pada Mac, mahkamah yang sama dipengerusikan oleh Hakim Said Youssef Sabri telah mengurangkan 492 dari 529 hukuman mati kepada penjara seumur hidup.