Sebuah keretapi penumpang tergelincir dari landasan di barat India pada Ahad mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera ketika pasukan penyelamat masih bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Pegawai bilik gerakan Ramchandra Kamre di daerah Raigad memberitahu AFP, enjin dan empat gerabak keretapi terbabit tergelincir di barat negeri Maharashtra kira-kira 110 kilometer Selatan Mumbai.

“Sehingga kini kita telah menerima laporan 18 maut dan 112 cedera dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan,” ujar Kamre.

Pasukan penyelamat masih cuba menarik keluar penumpang yang terperangkap di dalam tren menggunakan kren.

Menteri Keretapi Mallikarjun Kharge telah meminta kemalangan terbabit disiasat.

Rangkaian keretapi India mempunyai rekod keselamatan yang buruk namun kekal menjadi pilihan pengangkutan utama dalam perjalanan jarak jauh.

Tragedi kemalangan keretapi terburuk India berlaku pada 1981 apabila sebuah keretapi tergelincir dan terhumban ke dalam sebatang sungai di wilayah timur Bihar, membunuh lebih kurang 800 orang.