Sebuah bas dua tingkat yang membawa pelancong tempatan bertembung dengan sebuah treler di sebuah lebuh raya di Wilayah Nakhon Ratchasima malam tadi, mengorbankan sekurang-kurangnya 16 penumpang dan 33 lagi cedera.

Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana wilayah itu, Suthep Ruentawin, bas itu sedang menuju ke Kalasin, timur laut Thailand dari Chantaburi, yang terletak di timur negara ini semasa tragedi itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam (8.30 malam waktu Malaysia).

"Berikutan pelanggaran dengan treler itu, bas berkenaan terbabas dan melanggar sebuah tempat berteduh di tepi lebuh raya itu dan terbalik," katanya sambil menambah kebanyakan mangsa daripada bas itu meninggal dunia akibat kecederaan parah yang mereka alami.

Penumpang yang cedera dihantar ke hospital berdekatan di Wang Nam Khiao, Maharat, Nakhon Ratchasima dan Hospital Universiti Teknologi Suranari untuk dirawat , katanya.

Pihak berkuasa menjangkakan jumlah korban akan meningkat berikutan kecederaan serius yang dialami oleh sesetengah mangsa.

Sementara itu Kol Jeerawat Prayoonsub dari Balai Polis Udomsub memberitahu media tempatan bahawa pemandu bas itu terselamat dan sedang disiasat oleh pihak berkuasa. Bas itu didakwa dipandu melebihi had laju ketika kemalangan.

-- BERNAMA