Sejumlah 10 orang maut dan lebih 100 lagi jatuh sakit dalam dua kejadian berasingan yang dikaitkan dengan pengambilan daging anjing dan wain beras di daerah timur laut Kemboja, pada Jumaat.

Portal berita AP melaporkan, menurut Ketua Jabatan Kesihatan Kratie, Chhneang Sivutha, pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menyiasat kejadian itu di kedua-dua daerah Snuol.

Sivutha berkata, penduduk di daerah itu telah diberi amaran untuk tidak memakan daging haiwan yang telah mati akibat penyakit atau keracunan dan tidak meminum tuak atau wain yang tidak dibenarkan.

Enam maut Ahad lalu selepas makan bangkai anjing yang mati atas sebab-sebab yang tidak diketahui manakala empat yang lain mati selepas minum wain beras pada Selasa.

Sivutha berkata sampel daging anjing dan arak telah dikumpul dan dihantar kepada Kementerian Kesihatan di ibu negara, Phnom Penh, untuk ujian makmal.

Katanya, kes-kes keracunan seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa, tetapi memang jarang melibatkan mangsa yang begitu ramai.

Keselamatan makanan bukan perkara utama di Kemboja dan merupakan salah satu daripada negara termiskin di Asia.

Wain beras amat popular di kawasan luar bandar, dan dijual pada harga murah dan biasanya dicampurkan dengan buah-buahan atau tumbuh-tumbuhan yang dipercayai mempunyai nilai perubatan.