YOUTUBE dilaporkan sedang menguji reka bentuk baharu untuk paparan bar bawah pada aplikasinya di Android.

Jika sebelum ini bar bawah pada aplikasi YouTube direka dengan paparan warna yang solid, kini YouTube sedang melakukan eksperimen dengan reka bentuk baharu paparan palang bawah yang tampil dengan warna lut sinar yang kabur dengan ia dapat memperlihatkan paparan video yang dimainkan di belakang.

Rekaan seumpama ini menjadikan paparan video YouTube akan terlihat lebih menyeluruh pada skrin dan sekali gus memaksimumkan kawasan skrin untuk paparan video.

Ikon untuk setiap butang juga terlihat hadir dengan rekaan yang lebih sederhana.

Perubahan reka bentuk paparan bar bawah baharu ini mungkin bertujuan untuk memberikan paparan yang lebih bersih, kemas dan memfokuskan pada video dengan harapan agar pengguna dapat menikmati kandungan dengan lebih baik.

Tambahan lagi, dengan palang bawah dalam wajah baru ini juga secara tidak langsung akan memberikan antara muka yang lebih segar dan sesuai dengan gaya reka bentuk aplikasi masa kini.

Meskipun begitu, paparan bar bawah baharu ini masih lagi dalam tahap ujian dan belum tersedia untuk semua pengguna Android.

Ini kerana, ia akan diberikan kepada semua pengguna Android secara berperingkat. -Amanz