SELEPAS Google memperkenalkan Pixel Watch dan Samsung menggunakan Wear OS pada Galaxy Watch, Wear OS menjadi semakin baik dan akhirnya boleh bersaing dengan baik bersama Apple Watch yang menggunakan watchOS.

Salah satu ciri yang menarik adalah penggunaan aplikasi peta, iaitu Google Maps yang turut menyokong mod Always-on Display. Terbaharu, sokongan akses luar talian pula diperkenalkan.

Akses peta luar talian selama ini terhad pada peranti Android dan hanya baru-baru ini dikembangkan ke jam tangan pintar.

Ciri ini ditemui oleh 9to5Google melalui aplikasi Google Maps versi 11.140.0701.W pada Pixel Watch 2.

Pilihan peta luar talian adalah berdasarkan tetapan Google Maps dalam telefon serta secara automatik akan disimpan ke jam ketika pengecasan dan jam bersambung dengan WiFi.

Jumlah penggunaan data muat turun turut akan dipaparkan dan pengguna mudah untuk membuang mana-mana peta yang tidak lagi ingin digunakan.

Jika anda ingin menjimatkan bateri jam dan penggunaan data, Google Maps luar talian adalah kaedah penggunaan yang bijak.

Cuma buat masa ini, kemas kini Google Maps masih tidak kelihatan pada jam lain termasuk Samsung Galaxy Watch Ultra. -Amanz