KUALA LUMPUR: Syarikat milik penuh Bumiputera, VFive Group melancarkan sebuah organisasi di bawah naungannya, Yayasan VFive yang bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan memerlukan.

Pengasas Yayasan VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya memantapkan program membantu komuniti terjejas sumber pendapatan dan kurang bernasib baik akibat COVID-19.

“Kami telah merancang pelbagai usaha untuk kita bantu masyarakat yang akan dimantapkan lagi dengan penubuhan yayasan ini.

“Pada tahun lepas, kita telah memperuntukkan RM1.1 juta bagi program-program CSR dan tahun ini kita telah tambahkan peruntukan kepada RM3.6 juta.

“Dengan peruntukan itu, kami mensasarkan untuk meluaskan lagi usaha murni ini agar mereka terjejas beroleh manfaat dan merasai nikmat kehidupan yang lebih baik,” katanya Majlis Iftar Perdana VFive dan Perasmian Yayasan VFive yang dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ampang, dekat sini, pada Khamis.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut memberikan sumbangan duit raya kepada 70 orang pelajar dan guru pusat tahfiz sekitar Ampang dalam majlis tersebut.

Ia juga bertujuan bagi meraikan pemimpin, aktivis tempatan, rakan niaga, pembekal, wakil masjid, rumah kebajikan dan kakitangan di bulan Ramadan ini.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 380 tetamu dengan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).