Keuntungan sebelum cukai Tan Chong Motor Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 susut kepada RM115.25 juta berbanding RM170.85 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Perolehan, bagaimanapun, meningkat kepada RM5.72 bilion berbanding RM4.76 bilion, hasil daripada penghantaran lebih tinggi semasa kempen promosi jualan, menurut syarikat dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Pada suku keempat, syarikat mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM10.97 juta berbanding RM15.37 juta dicatatkan sebelum ini manakala perolehan sebanyak RM1.51 bilion berbanding RM1.26 bilion pada 2014.

"Kumpulan akan terus menumpukan kepada memacu jualan dengan tawaran nilai dengan memberi tumpuan kepada pengalaman pengguna melalui selepas jualan dan perkhidmatan sokongan sampingan yang lain.

"Tan Chong Motor berhati-hati mengawal perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi untuk mengekalkan nilai," katanya, sambil menambah ekonomi global dijangka terus tidak menentu dengan harga minyak mentah dan kelembapan ekonomi China yang mempengaruhi perbelanjaan pengguna ke atas pembelian dengan harga yang tinggi.

Syarikat bimbang bahawa jualan kenderaan baharu, yang memberangsangkan kebelakangan ini, akan berkurangan pada tahun ini.