KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd naik kepada RM2.71 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 (tahun kewangan 2022) berbanding RM2.62 bilion setahun yang lepas, sebahagian besarnya berikutan pendapatan berasaskan dana bersih yang tinggi, ketiadaan kerugian penyesuaian (ML) dan jangkaan kerugian kredit (ECL) yang rendah.

Perolehan meningkat kepada RM13.28 bilion daripada RM11.75 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut bank itu, pendapatan berasaskan dana bersihnya meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada RM6.38 bilion didorong oleh pendapatan berasaskan dana kasar yang lebih tinggi, yang naik 18.3 peratus tahun ke tahun disokong oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 6.9 peratus, dengan margin faedah bersih pada tahun tersebut pada 2.24 peratus berbanding 2.20 peratus dicatatkan pada tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya pendapatan berasaskan bukan dana merosot sebanyak 10.6 peratus kepada RM1.93 bilion, terutamanya daripada pendapatan yuran yang lebih rendah, lebihan taja jamin insurans serta pendapatan dagangan bersih dan pelaburan.

Katanya ECL berkurangan sebanyak 42.9 peratus kepada RM421.2 juta daripada ECL yang rendah untuk pinjaman dan sekuriti serta hutang lapuk yang tinggi pulih. Sehubungan itu, nisbah caj kredit meningkat kepada 0.15 peratus berbanding 0.29 peratus pada tahun lepas.

RHB berkata jumlah aset kumpulan naik 7.3 peratus dari Disember 2021 kepada RM310.8 bilion sehingga 31 Dis 2022. Aset bersih sesaham sebanyak RM6.76, dengan ekuiti pemegang saham pada RM28.7 bilion sehingga akhir Disember 2022.

Kedudukan modalnya kekal kukuh; Ekuiti Biasa Tahap 1 Kumpulan dan jumlah nisbah modal, masing-masing sebanyak 16.9 peratus dan 19.3 peratus.

Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM212.2 bilion, sebahagian besarnya disokong oleh pertumbuhan gadai janji, pembiayaan kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana, komersial, Singapura dan Kemboja manakala pinjaman dan pembiayaan domestik naik 5.3 peratus tahun ke tahun.

RHB berkata pinjaman susut nilai kasar sebanyak RM3.3 bilion sehingga Disember 2022 dengan nisbah pinjaman susut nilai kasar sebanyak 1.55 peratus, berbanding RM3.0 bilion dan 1.49 peratus sehingga Disember 2021.

Deposit pelanggan meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun kepada RM227.2 bilion, disumbangkan oleh pertumbuhan dalam simpanan tetap serta akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), masing-masing sebanyak 6.7 peratus dan 1.3 peratus, menurut bank itu.

Komposisi CASA sebanyak 29.2 peratus manakala nisbah liputan kecairan kekal kukuh pada 162.1 peratus sehingga 31 Dis 2022.

Pada suku keempat berakhir 31 Dis 2022, RHB Bank mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM772.12 juta daripada RM631.17 juta pada setahun yang lepas, sebahagian besarnya berikutan pendapatan berasaskan dana bersih dan bukan dana yang tinggi, ketiadaan ML dan ECL yang rendah manakala perolehan meningkat kepada RM3.95 bilion daripada RM2.89 bilion sebelum ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group Mohd Rashid Mohamad berkata kumpulan telah menunjukkan daya tahan dan mencatatkan prestasi yang baik pada tahun kewangan 2022.

"Momentum pertumbuhan dan asas kami kekal kukuh seperti yang dapat dilihat daripada kedudukan modal dan mudah tunai kami yang teguh.

"Tumpuan jangka masa segera kumpulan ialah melaksanakan strategi 'Together We Progress 24' (TWP24) dan berusaha ke arah merealisasikan faedah, memberi tumpuan kepada mencapai pertumbuhan berkualiti, memacu kecemerlangan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan," katanya dalam kenyataan berasingan kepada bursa.

RHB Banking Group turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 25 sen sesaham, berjumlah RM1.06 bilion bagi tahun kewangan 2022, terdiri daripada pembayaran tunai sebanyak 20 sen sesaham dan bahagian boleh pilih di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen sebanyak lima sen sesaham.

Bersama dividen interim pertamanya sebanyak 15 sen sesaham, jumlah dividen pada tahun kewangan 2022 berjumlah 40 sen sesaham atau 62.5 peratus nisbah pembayaran, membawa kepada hasil dividen sebanyak 6.9 peratus.

"Pembayaran dividen ini mencerminkan penghargaan kami kepada pemegang saham kami atas sokongan, kepercayaan dan kesetiaan mereka yang berterusan," katanya. - BERNAMA