Anak syarikat SPK Sentosa Corporation Bhd, Budaya Positif Sdn Bhd, menandatangani perjanjian konsesi (CA) dengan kerajaan Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi sebuah projek pembinaan bernilai RM143 juta.

Budaya Positif akan bertanggungjawab bagi pembiayaan, reka bentuk, pembangunan, pembinaan dan penyenggaraan blok bangunan kediaman pelajar bagi UniMAP," kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia Jumaat.

Tempoh pelaksanaan projek itu ialah dua setengah tahun. Ia dijangka bermula Jun tahun ini dan siap pada Disember 2015. Penyenggaraan bagi projek itu adalah bagi tempoh selama 20 tahun.

SPK Sentosa berkata projek yang akan dibiayai melalui dana janaan dalaman dan pinjaman bank itu, tertakluk kepada syarat kejayaan Budaya Positif memperoleh pembiayaan dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelaksanaan CA itu.

Projek itu tidak dijangka memberi sebarang kesan ketara ke atas perolehan, aset bersih sesaham dan nisbah hutang berbanding modal SPK Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013, tegasnya.