KUALA LUMPUR: Anak syarikat CelcomDigi Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom Mobile Sdn Bhd, menamatkan perjanjian langganan saham (SSA) masing-masing dengan Digital Nasional Bhd (DNB) berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata penamatan itu disebabkan tarikh akhir untuk memenuhi semua syarat terdahulu di bawah SSA, yang ditandatangani pada 7 Okt 2022, telah luput.

Ia berkata SSA itu melibatkan cadangan langganan 100,000 saham biasa baharu dalam DNB dan sehingga 291.57 juta hak untuk peruntukan saham DNB.

"Penamatan SSA itu dijangka tidak mempunyai kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan tahap kadar hutang kumpulan CelcomDigi untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023," katanya.

-- BERNAMA