ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghargai hubungan kukuh antara negara itu dan Malaysia, mengesahkan komitmen UAE untuk meningkatkan kerjasama perdagangan sambil mewujudkan peluang perniagaan untuk kedua-dua pihak.

Menteri Perdagangan Luar UAE, Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi, berkata demikian pada perbincangan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Abu Dhabi baru-baru ini.

Mesyuarat ini merupakan antara jadual lawatan delegasi pegawai perdagangan terkemuka Malaysia ke UAE, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Menurut laporan itu, kedua-dua pihak juga mengkaji perkembangan rundingan ke arah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif UAE-Malaysia (CEPA), yang dilancarkan semasa lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan ke Kuala Lumpur pada Mei 2023.

Ini merupkan pertemuan kedua antara dua menteri perdagangan sejak permulaan rundingan CEPA, yang julung kali berlangsung di Jakarta pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN awal bulan ini, memperkukuh hubungan yang semakin erat antara UAE dan Malaysia dan secara meluas di blok ASEAN.

Dr Al Zeyoudi berkata Malaysia adalah rakan kongsi yang dihormati UAE di rantau yang semakin penting yang berkongsi visinya untuk memanfaatkan perdagangan global untuk pertumbuhan pesat dan kepelbagaian ekonomi.

"Pertemuan dengan delegasi Malaysia memberi peluang penting untuk meneroka sektor yang mempunyai potensi maksimum bagi sektor swasta masing-masing, dan untuk membina konsensus mengenai isu yang memberi kesan kepada perdagangan global menjelang MC13 di Abu Dhabi pada Februari tahun depan," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia mahu mengukuhkan hubungannya dengan UAE, sebuah negara yang terus meningkat sebagai sekutu perdagangan strategik untuk Malaysia.

"Terletak di persimpangan antara Timur dan Barat, UAE menawarkan peluang besar untuk pengeksport kami dan usaha mereka untuk berkembang ke pasaran global.

"Sambil menghargai komitmen UAE untuk memastikan kemampanan, Malaysia berharap menjadi rakan kongsi strategik untuk UAE dalam bidang ini, dan kami berharap dapat bekerjasama untuk memastikan hubungan ini akan memberikan ganjaran jangka panjang dan saling menguntungkan," katanya.

Kedua-dua menteri menyambut baik lonjakan perdagangan dua hala bukan minyak baru-baru ini, yang melebihi US$2.226 bilion pada separuh pertama 2023.

UAE kini merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat, menyumbang 32 peratus daripada jumlah keseluruhannya perdagangan dengan negara Arab, manakala Malaysia menduduki tempat kelapan eksport dalam kalangan negara Asia Bukan Arab ke UAE dan ke-19 bagi eksport semula.

Kedua-dua pihak juga menyatakan hasrat mereka untuk meningkatkan pelaburan bagi memanfaatkan gabungan Pelaburan Langsung Asing (FDI) sedia ada sebanyak AS$370 juta.

-- BERNAMA