IPOH: Perak menyasarkan pulangan berjumlah RM10 bilion menerusi penganjuran Tahun Melawat Perak (TMP) 2024, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan kehadiran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa sepanjang tahun hadapan.

"Kita lihat perkiraan itu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Tourism Malaysia memandangkan pada 2019 kita berjaya menjana pendapatan hingga RM7.8 bilion.

"Jadi kita anggarkan daripada pelancong yang datang secara anggaran kasar," katanya pada sidang media berkaitan pelaksanaan TMP 2024 di sini pada Jumaat.

Loh berkata namun begitu, beliau tidak gemar meletakkan sasaran kerana lebih percayakan kepada kesan hiliran.

"Jika kita mahu buat kajian sasaran itu agak susah. Sektor pelancongan merupakan sektor yang melibatkan rakyat secara keseluruhan kerana apabila pelancong masuk ke negeri ini, mereka membawa duit dan pulangan kepada peniaga tempatan.

"Peruntukan tambahan sebanyak RM7 juta juga diluluskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri," katanya.

Beliau berkata bagi menjayakan TMP 2024, pelbagai strategi telah dirancang antaranya melalui penghasilan logo rasmi yang berkonsepkan gabungan corak anyaman tradisional negeri ini berserta lima gabungan warna iaitu merah jambu yang melambangkan santai dan keluarga, hijau (ekopelancongan), biru dan ungu (pulau dan kreativiti) serta jingga (warisan, budaya dan kraftangan).

"Kami bercadang untuk mengadakan Majlis Prapelancaran TMP 2024 pada 15 dan 16 Julai yang melibatkan penganjuran acara, promosi dan pengiklanan," katanya.

-- BERNAMA