BANDARAYA MELAKA: Pembukaan penuh pintu sempadan negara sejak 1 April lalu memberi impak luar jangka kepada sektor pelancongan negeri Melaka.

Sejak 1 April, kebanyakan hotel di negeri itu merekodkan peningkatan tempahan antara 40 hingga 80 peratus sepanjang bulan ini membabitkan pelancong luar negara khususnya Singapura.

Exco Pelancongan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri akan terus menggiatkan usaha promosi terutamanya di Tambak Johor untuk menarik pelancong republik itu ke Melaka.

"Ini sesuatu yang baik, kita dapati peningkatan tempahan itu tinggi, cuma pihak hotel ini sedang sibuk, mereka belum beri statistik.

"Semalam kita sudah keluarkan pekeliling minta statistik itu disegerakan supaya pemantauan dapat dibuat dan pada masa sama persijilan Bufet Halal Ramadan akan diselaraskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan rombongan pelajar dari China di Melaka pada Rabu malam.

  Sejak 1 April, kebanyakan hotel di negeri itu merekodkan peningkatan tempahan antara 40 hingga 80 peratus sepanjang bulan ini. - Astro AWANI

Dalam pada itu, katanya, Melaka akan meningkatkan semula hubungan dua hala dengan China selepas terjejas ekoran pandemik COVID-19.

China jelasnya, adalah pelancong di luar ASEAN paling ramai datang ke Melaka dengan 4 juta orang setahun.