Ia tidak hanya mencapai matlamat, malah melepasi sasaran keseluruhan RM7 bilion yang ditetapkan untuk kedua-dua siri SIBS 2024, serta jauh lebih banyak daripada rekod keseluruhan RM6.12 bilion yang dicapai pada penganjuran tahun lepas.
Episod pertama SIBS 2024 yang membawakan Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK) 2024 dan Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2024 menerima kunjungan 8,550 pengunjung dari 22 negara, termasuk Filipina, Vietnam, Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Australia, Bangladesh, Brunei, Kanada, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, India, Japun, Laos, Mauritius, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom, dan Zimbabwe.
SPARK 2024 menampilkan siri forum, termasuk 18 sesi ‘pitching’, empat ceramah poket, dan 2 sesi panel, yang menyajikan pandangan-pandangan berharga berkenaan trend pasaran terkini, strategi perniagaan, serta produk dan perkhidmatan inovatif.
Sejumlah 23 Surat Perjanjian (LoA), Surat Niat (LoI), Memorandum Perjanjian (MoA), dan Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dan ditukar, menggariskan semangat kolaboratif dan kepentingan bersama para entiti yang menyertai sidang kemuncak ini.
Tahun ini, SPARK 2024 menampilkan 285 reruai dari enam negara, termasuk Malaysia, berbanding 258 reruai dari empat negara pada penganjuran tahun 2023, yang mana SPARK 2023 mencatatkan nilai transaksi terunding keseluruhan pada RM4.6 bilion hasil rundingan di reruai dan pertukaran dokumen.
SPARK 2024 juga menampilkan forum khusus yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) iaitu ‘MIDA Invest Series Selangor: Unfolding Its Business Potential’ yang memandu tumpuan kepada peluang-peluang pelaburan dan memupuk pertumbuhan ekonomi di Selangor.
Sementara di bawah payung SABC 2024, 27 speaker dan panelis dari negara anggota ASEAN serta Timor-Leste ditampilkan, menggamit 500 hadirin termasuk lebih 200 perwakilan antarabangsa.
Berbanding tahun lepas, SABC 2023 diserikan dengan 23 penceramah dan ahli panel dan mengumpulkan 783 hadirin, termasuk 100 delegasi antarabangsa.
Pameran mini Industri Kreatif ASEAN yang julung kali diperkenalkan tahun ini menyaksikan penyertaan dari lima negara juga menarik ramai pengunjung dan mengetengahkan budaya dan kraf ASEAN yang penuh warna.
SIBS 2024 akan diteruskan dengan Siri Dua, menampilkan Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) 2024, Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) 2024, juga Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2024, dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 16 hingga 19 Oktober ini.
Maklumat lanjut tentang SIBS 2024 layari www.selangorsummit.com.