BALI: OPPO secara rasmi melancarkan flagship siri OPPO Find X8 terbaharunya dalam sebuah acara global yang berprestij di Bali, Indonesia, dengan sasaran 50 juta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Siri OPPO Find X8 hadir dengan dua model, OPPO Find X8 dan OPPO Find X8 Pro, yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini, termasuk lensa telefoto dengan kemampuan zoom sehingga 120 kali.

Menurut Ketua Pengurusan Produk OPPO, Arne Herkelman, teknologi zoom baharu ini menggabungkan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar yang lebih jelas, walaupun pada jarak yang jauh.

“Dengan siri OPPO Find X8, anda boleh melakukan zoom lebih jauh dengan kejelasan dan kualiti gambar yang lebih baik. Kami menyebutnya sebagai AI Telescope Zoom.

“Jadi, sama ada 10 kali, 30 kali, atau ketika anda berada di konsert atau mendaki, anda boleh mendapatkan gambar yang jauh lebih baik walaupun dari jarak jauh,” katanya.

Selain itu, siri OPPO Find X8 juga memperkenalkan fungsi fotografi pantas yang mampu menangkap sehingga tujuh gambar sesaat, menjadikannya unggul dalam situasi menangkap pergerakan pantas.

“Biasanya, dalam banyak situasi seperti mengambil gambar haiwan peliharaan atau kanak-kanak, mereka bergerak pantas, dan sukar untuk mendapatkan gambar yang jelas. Tetapi dengan siri OPPO Find X8, anda boleh mendapatkan gambar yang sangat jelas sehingga tujuh frame dalam satu saat, sesuatu yang buat masa ini tiada peranti lain dapat lakukan,” tambahnya.

Dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 9400, siri ini menawarkan prestasi mantap dan cekap tenaga, selain menyokong pengecasan pantas 80W dan pengecasan tanpa wayar 50W.

Paparan skrin siri OPPO Find X8 pula menggunakan teknologi LTPO OLED dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz, yang menjimatkan bateri dengan menyesuaikan kadar segar berdasarkan kandungan pada skrin.

Kedua-dua OPPO Find X8 dan OPPO Find X8 Pro mempunyai ketahanan IP68 dan IP69 yang menjadikan peranti ini tahan terhadap air dan debu.

Reka bentuk siri OPPO Find X8 turut menampilkan butang rana khas, penunjuk amaran (alert slider), serta sokongan untuk aksesori Mag OPPO, namun pengguna memerlukan sarung khas untuk menggunakan aksesori seperti power bank 80W, pengecas tanpa wayar 50W dengan kipas penyejuk, dan aksesori lain.

Bagi pengguna yang gemar menyunting gambar, siri OPPO Find X8 menawarkan ciri-ciri AI baharu seperti AI Unblur, AI Eraser, AI Reflection Remover yang bukan sahaja meningkatkan kualiti gambar, tetapi juga menyelesaikan cabaran fotografi harian.

“Anda boleh menggunakan AI Eraser, contohnya, untuk membuang objek dalam gambar yang anda tidak inginkan. Anda juga boleh menggunakan AI Unblur untuk meningkatkan kualiti gambar, termasuk gambar yang mungkin diambil menggunakan telefon lama atau dihantar oleh rakan,”

“Kami juga ada AI Clarity Enhancer, yang sangat berguna untuk memperbaiki gambar yang dimampatkan melalui Line, WhatsApp, atau media sosial, menjadikannya lebih jelas. Akhir sekali, terdapat AI Reflection Remover, yang menghilangkan pantulan dari tingkap seperti di muzium atau dalam pesawat,” ujar Arne.

Siri OPPO Find X8 kini tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Star Grey, Space Black, dan Shell Pink, dengan kemasan permukaan yang tahan cap jari, menjadikan ia tampak elegan tanpa mengira warna yang dipilih.

Manakala, OPPO Find X8 Pro hadir dalam warna Space Black dan Pearl White dan kedua-duanya mengekalkan estetika kemasan yang nipis.

Bagi setiap model Pearl White OPPO Find X8 Pro menampilkan corak pearlescent yang unik, memberikan sentuhan eksklusif kepada warna tersebut.

OPPO Find X8 dan OPPO Find X8 Pro akan mula dijual di Malaysia pada 30 November 2024, dengan harga masing-masing RM3,699 dan RM4,999 untuk model 16GB + 512GB.

Pra-tempahan kini dibuka di semua rangkaian rasmi dan kedai atas talian sehingga 29 November, dengan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM3,214.

xxx