Biarpun pelancaran Blackberry 10 memberi harapan dan semangat baru kepada peminat setia Blackberry, ia telah gagal melonjakkan harga saham RIM.

Ini apabila kaunter RIM mempamerkan kemerosotan sebaik sahaja Ketua Pegawai Eksekutifnya Thorsten Heins memperkenalkan peranti baru berkenaan.

Menurut seorang penganalisis, prestasi kurang memberangsangkan itu memberi petanda bahawa Blackberry 10 mungkin merupakan produk terakhir yang akan dihasilkan RIM.

Ini kerana RIM dikatakan tidak mempunyai dana mencukupi untuk bersaingan dengan Apple dan Samsung dalam tempoh jangka panjang.

Antara keistimewaan utama Blackberry 10 ialah Blackberry Balance iaitu fungsi yang membolehkan maklumat dan aplikasi bagi urusan peribadi diasingkan dengan urusan kerja.

Di majlis pelancaran itu,RIM turut mengambil peluang menjenamakan semula syarikat dengan menukarkan nama Research In Motion kepada Blackberry.

Model terbaru Blackberry berkenaan akan mula memasuki pasaran Amerika Syarikat pada 31 januari dan Kanada pada 5 februari pada harga 150 dolar Amerika beserta kontrak tiga tahun.