Kerajaan membelanjakan kira kira RM39.2 juta untuk kos pengurusan dan pentadbiran 991 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Terengganu setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A Latiff Awang berkata secara dasarnya, setiap JKKK akan menerima sebanyak RM39,250 untuk kos pengurusan mereka sepanjang tahun.

"Dari jumlah itu, sebanyak RM22,200 dibiayai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) manakala RM17,050 pula dibiayai oleh Kerajaaan negeri Terengganu.

"Elaun bulanan Pengerusi JKKK pula ialah sebanyak RM800, Timbalan Pengerusi (RM400), Setiausaha JKKK (RM500) manakala elaun tahunan Bendahari JKKK pula ialah sebanyak RM650 dan mereka turut menerima elaun lain seperti elaun mesyuarat dan elaun menghadiri kursus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) yang mahu tahu kos pembiayaan untuk pengurusan 991 JKKK di seluruh negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ke-13, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan elaun yang diberi kepada JKKK itu adalah setimpal dengan pelbagai tugasan yang dilakukan dalam membantu kerajaan melancarkan pembangunan sosial dan fizikal di kawasan masing-masing.

Terdahulu, menjawab soalan lisan wakil rakyat yang sama mengenai penarafan bintang untuk menilai petunjuk prestasi utama (KPI) JKKK, A Latiff yang juga ADUN Pengkalan Berangan berkata ia bertujuan memastikan JKKK menjalankan tugas mereka dengan baik.

"JKKK sebagai mata dan telinga kerajaan sepatutnya membantu menyelesaikan masalah rakyat dan penarafan bintang ini memudahkan kerajaan negeri mengenal pasti JKKK mana yang aktif dan sebaliknya.

"Kerajaan negeri juga telah banyak membuat transformasi kepada JKKK Terengganu agar mereka lebih memahami fungsi dan peranan mereka agar dapat memberi manfaat kepada penduduk di kampung masing-masing," katanya.