Butiran terperinci rizab antarabangsa Malaysia berdasarkan format Standard Penyebaran Data Khas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF SDDS) menunjukkan bahawa pada akhir Januari, 2017, rizab negara tetap boleh guna.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata aset rizab rasmi berjumlah AS$94.98 bilion, manakala aset mata wang asing berjumlah AS$348.6 juta pada akhir Januari 2017.

Bank pusat berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan diunjurkan sebanyak AS$247.5 juta.

Sementara itu, jumlah kedudukan hadapan pendek ialah sebanyak AS$9.62 bilion pada akhir Januari 2017, mencerminkan usaha mengurus mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan.

Bank pusat berkata sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak AS$2.25 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

BNM berkata satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$84.7 juta.

"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," kata bank pusat itu.

-- BERNAMA