KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$113.8 bilion (AS$1=RM4.7065) pada 28 Jun 2024, berbanding AS$114.1 bilion pada 14 Jun 2024.

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek, kata bank pusat dalam satu kenyataan hari ini.

Komponen utama rizab tersebut adalah rizab mata wang asing, yang berjumlah AS$101.6 bilion, diikuti oleh rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.9 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).

Jumlah aset berjumlah RM639.88 bilion, yang terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain termasuk SDR (RM537.28 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.91 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.41 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.96 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM58.20 bilion).

BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100.0 juta), rizab (RM199.64 bilion), mata wang dalam edaran (RM166.44 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM153.14 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM5.86 bilion) dan deposit lain (RM62.87 bilion), kertas Bank Negara (RM18.65 bilion), peruntukan SDR (RM29.96 bilion), dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.22 bilion).

-- BERNAMA