Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika hari ini setelah permintaan bertambah baik seiring dengan mata wang serantau setelah dolar berdepan tekanan jualan, kata peniaga-peniaga.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan disebut harga pada 4.2920/2950 berbanding dolar AS daripada 4.2960/2990 yang dicatatkan semalam.

Penganalisis FXTM, Lukman Otunuga berkata ringgit akan naik lagi pada bulan-bulan akan datang sekiranya pelabur mengekalkan sikap bertahan terhadap dolar AS.

"Dengan dolar AS mengalami tekanan dan pasaran menjangka kemungkinan satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutan tahun ini, pelabur mungkin beralih di pasaran bon antarabangsa yang akan memberi sokongan sentimen belian terhadap ringgit.

"Apabila mengambil kira bagaimana ekonomi Malaysia berkembang pada pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2017, mata wang mungkin di bawah nilai dengan jangkaan berlaku kenaikan," kata Lukman kepad Bernama.

Beliau berkata keadaan ekonomi makro negara yang bertambah baik telah menyokong ringgit dan menjadi mata wang utama Asia paling kukuh pada suku tahun.

"Petunjuk lain peningkatan dana domestik yang menunjukkan kestabilan ekonomi akan menyokong aliran semasa. Dari segi teknikal, ringgit kini dalam aliran menaik yang kukuh berbanding dolar AS," kata Lukman.

Sementara itu, Pedagang Kanan OANDA, Stephen Innes yang turut bersetuju dengan landskap ekonomi makro Malaysia bertambah baik berkata ringgit menunjukkan prestasi lebih baik berbanding yang lain di ASEAN setelah aliran modal berterusan.

Bagi baki minggu ini, Innes berkata peniaga akan terus memberi tumpuan kepada mesyuarat bank pusat G-10.

Semasa ditutup hari ini, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain, kecuali yen.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1115/1148 daripada 3.0996/0020 pada Rabu, turun berbanding pound kepada 5.5654/5710 daripada 5.5053/5109 dan rendah berbanding euro kepada 4.8980/8032 daripada 4.8798/8845.

Mata wang tempatan bagaimanapun naik berbanding yen kepada 3.8175/8205 daripada 3.8289/8333.

-- BERNAMA