KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mencapai paras tertinggi sejak 2 Feb, 2023 ketika ditutup hari ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu melonjak kepada 4.2410/2460 berbanding dolar AS 4.2535/2645 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pemerhati pasaran menjangkakan penurunan 50 mata asas (bps) bagi Kadar Dana Fed (FFR) malam ini.

"Ini akan mengecilkan jurang antara FFR dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini berada pada 2.5 peratus.

"Keadaan ini akan menjadikan aset dalam denominasi ringgit menarik pada pandangan pelabur asing," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata kadar semasa ringgit berbanding dolar AS menghampiri paras sokongan pada 4.2128.

"Oleh itu, pengumuman Fed malam ini amat penting untuk menentukan prospek ringgit pada masa hadapan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bank Indonesia (BI) secara tidak dijangka menurunkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas kepada 6.00 peratus.

Rupiah Indonesia yang kukuh berbanding dolar AS, di samping kadar inflasi yang mereda membolehkan BI menurunkan kadar faedahnya dan ia bersedia melakukannya lagi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Indonesia.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6091/6158 daripada 5.6240/6385 ketika ditutup semalam, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.9940/9977 daripada 3.0244/0324 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7236/7292 daripada 4.7375/7498 sebelum itu.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan kukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2792/2833 daripada 3.2891/2979 ketika ditutup pada Selasa, dan menokok berbanding baht Thai kepada 12.7472/7680 daripada 12.7725/8105 semalam.

Ia melonjak berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.62 daripada 7.64/7.66 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 276.5/277.0 daripada 277.3/278.2 pada Selasa.

-- BERNAMA