KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup dengan mengukuh berbanding dolar AS hari ini, sejajar dengan mata wang serantau lain berikutan peserta pasaran menunggu laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan esok.

Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.3400/3445 berbanding dolar AS daripada 4.3700/3745 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata semakan semula data senarai gaji bukan ladang AS baru-baru ini menunjukkan pasaran buruh AS lemah manakala harga minyak mentah berada pada trajektori rendah.

"Sehubungan itu, trend disinflasi akan kekal utuh, memberi laluan kepada penurunan kadar faedah (AS) pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya persoalan utama sekarang ialah sama ada Rizab Persekutuan (Fed) AS akan memilih penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas atau 25 mata asas, bergantung kepada tahap kelembapan permintaan.

"Buat masa ini, ringgit dijangka berada dalam trend yang baik berdasarkan kemungkinan penurunan kadar faedah AS, yang boleh merapatkan jurang antara Kadar Dana Fed dan Kadar Dasar Semalaman," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.7909/7959 daripada 4.8310/8360 pada Isnin, naik berbanding pound kepada 5.6850/6909 daripada 5.7195/7253 sebelum ini dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.0309/0343 daripada 3.0449/0482.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8581/8764 daripada 12.8666/8851 semalam, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 280.7/281.2 daripada 282.6/283.1, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3257/3294 daripada 3.3453/3490 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.71 daripada 7.74/7.75 sebelum ini.

-- BERNAMA