KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup rendah pada Selasa berikutan penurunan ketara harga minyak mentah dan jangkaan berterusan terhadap pengurangan lebih kecil bagi kadar faedah AS.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.3080/3120 berbanding dolar AS daripada 4.2945/2995 ketika ditutup semalam.

Gabenor Rizab Persekutuan AS (Fed) Christopher Waller telah menyarankan supaya pendekatan lebih berhati-hati terhadap pengurangan kadar faedah, menunjukkan data ekonomi terkini yang menyerlahkan kekukuhan ekonomi dan pasaran tenaga kerja AS, menurut laporan terkini.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata keadaan itu telah meningkatkan permintaan terhadap dolar AS, dan memberi lebih tekanan ke atas ringgit.

"Selain itu, penyusutan renminbi China juga menyumbang kepada penurunan ringgit. Perkembangan dasar fiskal yang mengecewakan dari China pada hujung minggu menjadikan pasaran lemah dan menjejaskan mata wang negara serantau.

"Harga minyak mentahjuga susut apabila dipengaruhi oleh penurunan OPEC dari segi prospek permintaan dan berkemungkinan berkait dengan kelembapan ekonomi China, semakin memburukkan sentimen lemah terhadap ringgit," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik turun berbanding euro kepada 4.7013/7057 daripada 4.6935/6989 semalam, dan rendah berbanding pound British kepada 5.6357/6410 daripada 5.6056/6121.

Ringgit juga susut berbanding yen Jepun kepada 2.8928/8957 daripada 2.8743/8778 pada Isnin.

Mata wang tempatan turut mencatatkan prestasi campur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9121/9303 daripada 12.9310/9538 semalam, dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.44/7.46 daripada 7.47/7.49.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2928/2961 daripada 3.2868/2909 ketika ditutup pada Isnin, dan lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 276.3/276.7 daripada 275.8/276.3.

-- BERNAMA