KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan pasaran dalam mod menolak risiko, dengan pelabur terus memilih mata wang selamat disebabkan prospek pertumbuhan global yang dalam keadaan berhati-hati, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata situasi itu mampu mendorong Rizab Persekutuan AS mempertimbangkan penurunan 50 mata asas minggu depan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.3700/3745 berbanding dolar AS 4.3275/3330 ketika ditutup pada Jumaat.

Beliau turut mengaitkan penurunan prestasi ringgit itu disebabkan kenaikan 101.482 mata Indeks Dolar AS (DXY).

"Sentimen pasaran dilihat agak berhati-hati selepas penerbitan data gaji bukan ladang AS untuk Ogos minggu lepas yang tidak menepati anggaran konsensus pekerjaan baharu sebanyak 165,000, sebaliknya ia berkurangan kepada 142,000.

"Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Jepun bagi suku kedua 2024 juga lebih rendah daripada jangkaan pada 2.9 peratus berbanding anggaran konsensus 3.2 peratus manakala indeks harga pengguna China untuk Ogos meningkat 0.6 peratus, lebih rendah daripada anggaran konsensus 0.7 peratus," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 4.8310/8360 daripada 4.8087/8148 ketika ditutup pada Jumaat, merosot berbanding pound Britain kepada 5.7195/7253 daripada 5.7010/7083 sebelum itu, dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.0449/0482 daripada 3.0296/0337.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding baht Thai kepada 12.8666/8851 daripada 12.9087/9305 pada Jumaat, tetapi susut berbanding rupiah Indonesia kepada 282.6/283.1 daripada 281.3/281.9 sebelum itu dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3453/3490 daripada 3.3327/3372.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.74/7.75.

-- BERNAMA