KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, meneruskan kenaikan selama 10 hari berikutan pelabur menjangkakan kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) pada September.

Pada 8 pagi, ringgit naik 30 mata asas kepada 4.5645/5725 berbanding dolar AS daripada 4.5675/5710 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) Amerika Syarikat (AS) bagi sektor pembuatan merosot kepada 46.8 mata pada Julai, lebih rendah daripada anggaran konsensus sebanyak 48.8 mata.

Beliau berkata responden kepada kaji selidik ISM menunjukkan permintaan pengguna semakin perlahan dan sesetengah perniagaan memberikan tumpuan kepada mengurangkan inventori mereka.

"Tuntutan untuk insurans pengangguran di AS turut meningkat kepada 249,000 pada minggu lepas daripada 235,000 sebelum ini, menunjukkan pasaran buruh lemah.

"Ini (petunjuk) dilihat menyokong pandangan bahawa Fed akan menurunkan kadar faedah pada September berikutan ia perlu memastikan ekonomi dapat mencapai pertumbuhan selepas mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat untuk suatu tempoh," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ringgit dilihat positif berbanding dolar AS berikutan perbezaan kadar faedah dijangka akan berkurangan antara Kadar Dana Persekutuan dan Kadar Dasar Semalaman.

"Selepas mencatatkan kenaikan mendadak berbanding dolar AS, kami masih berpendapat ringgit berada di bawah nilai sebenar, justeru, potensi kepada peningkatan masih amat ketara.

"Bagaimanapun, dorongan dalam kalangan peniaga untuk menyimpan keuntungan akan menyebabkan pembetulan dalam ringgit dalam masa terdekat," katanya.

Sehubungan itu, katanya ringgit akan berada pada sekitar 4.56 hingga 4.57.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama dan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.8088/8190 daripada 5.8272/8317 pada Khamis, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.9233/9319 daripada 4.9229/9266 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.0597/0655 daripada 3.0450/0475 semalam.

Dalam kalangan mata wang ASEAN, ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 281.0/281.7 daripada 281.2/281.6 pada Khamis dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.82/7.84 daripada 7.83/7.84.

Mata wang tempatan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8216/8513 daripada 12.8239/8384 sebelum ini, bagaimanapun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4145/4207 daripada 3.4124/4153 semalam.

-- BERNAMA