KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur kekal tidak memasuki pasaran menunggu pemangkin baharu, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit berada pada 4.4500/4620 berbanding dolar AS daripada 4.4500/4580 pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kewangan bimbang mengenai risiko geopolitik di Timur Tengah, dengan minyak mentah Brent mencecah lebih US$80 setong manakala hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berada pada trend penurunan semalam.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal stabil pada 103 mata manakala dolar AS-yen pada sekitar 147 yen.

"Di peringkat tempatan, petunjuk untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2024 setakat ini dilihat positif, dengan data sektor pembinaan menunjukkan aktiviti industri itu tinggi pada suku tahun tersebut.

"Semua subsektor dalam sektor pembinaan, iaitu kediaman, bukan kediaman, kejuruteraan awam dan aktiviti perdagangan khas, mencatatkan pertumbuhan," katanya kepada Bernama.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan sektor pembinaan melonjak 20.2 peratus dengan nilai kerja berjumlah RM38.9 bilion pada suku kedua 2024.

Data KDNK suku kedua Malaysia akan diumumkan pada Jumaat ini.

Berdasarkan kekurangan pemangkin baharu, ringgit berbanding dolar AS dijangka diniagakan pada paras semasa sekitar RM4.45, kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8665/8796 daripada 4.8630/8717 pada Isnin, susut berbanding yen Jepun kepada 3.0262/0345 daripada 3.0206/0263 semalam dan berkurangan berbanding pound kepada 5.6827/6980 daripada 5.6760/6862 sebelum ini.

Mata wang tempatan mendatar dan sedikit berubah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3603/3706 daripada 3.3600/3663 semalam dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.6748/7184 daripada 12.6130/6414 sebelum ini.

Sementara itu, ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina, masing-masing pada 278.8/279.7 dan 7.76/7.79.

-- BERNAMA