RAM Ratings mengekalkan prospek stabilnya bagi sektor perbankan Islam Malaysia tahun ini, meskipun persekitaran ekonomi lebih mencabar dengan penurunan kualiti aset dan parameter pembiayaan.

Agensi penarafan kredit itu dalam satu kenyataan berkata sejajar dengan pandangannya bagi keseluruhan sistem perbankan domestik, ia mengekalkan prospek stabil bagi 10 bank Islam dalam portfolio penarafannya daripada 16 dalam sistem yang menyumbang hampir 90 peratus daripada set segmen ini.

"Majoriti bank Islam yang diberi penarafan oleh RAM di Malaysia berada dalam spektrum penarafan AAA hingga AA, kebanyakannya mendapat sokongan daripada kumpulan perbankan universal induk mereka atau pemegang saham," kata agensi itu.

"Tahun ini, kami menjangka kualiti aset sektor perbankan Islam berdepan landskap lebih mencabar berbanding sektor perbankan yang lebih meluas," kata Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangannya, Sophia Lee.

Beliau juga berkata, biasanya, bank-bank Islam di Malaysia mempunyai portfolio pembiayaan lebih tertumpu berbanding pesaing konvensional mereka.

"Syarat-syarat pembiayaan lebih ketat telah meningkatkan persaingan dalam kalangan bank Islam bagi mendapatkan deposit," katanya.

Sementara itu, RAM Ratings berkata metrik permodalan kekal kukuh bagi sektor perbankan Islam tahun lepas.

Ekuiti-bersama peringkat-1 dan jumlah nisbah modal meningkat masing-masing kepada 12.2 peratus dan 15.9 peratus pada akhir-Januari 2016, naik daripada 12 peratus dan 15.5 peratus pada 2014.

"Cabaran yang dihadapi ekoran kekangan kualiti aset dan pembiayaan lebih ketat mungkin memberi kesan kepada keuntungan bank-bank Islam tahun ini.

"Bagaimanapun, profil kredit mereka masih boleh ditingkatkan menerusi paras permodalan mereka yang selesa," kata Lee.