KUALA LUMPUR: Purata sewa di seluruh Malaysia meningkat 1.8 peratus kepada RM1,920 bagi suku pertama 2024 daripada angka pada suku pertama 2023, dengan trend ke arah peningkatan kemampuan memandangkan kadar kenaikan menurun, menurut Indeks Sewa Rumah Malaysia suku pertama 2024 oleh IQI. 

Pengasas Persama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI Kashif Ansari berkata prestasi Indeks Sewa Rumah Malaysia bagi tempoh itu menunjukkan pertumbuhan permintaan terhadap hartanah sewa semakin perlahan namun masih pada tahap lebih tinggi yang ditetapkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Purata harga sewa di Malaysia sejak dua tahun lepas ialah RM1,895, lebih rendah daripada harga purata suku pertama RM1,920,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut IQI Indeks Sewa Rumah Malaysia berubah berdasarkan keseimbangan antara bekalan hartanah sewa dan bilangan orang yang ingin menyewa, trend bermusim, perubahan bilangan penuntut antarabangsa di negara ini, dan perubahan aktiviti pelabur yang membeli hartanah untuk disewakan.

IQI menjelaskan kadar sewa untuk 12 bulan akan datang diunjur meningkat agak sederhana dan naik di antara sifar peratus dengan tiga peratus daripada paras pada suku pertama 2024.

“Susulan perjalanan antarabangsa dan ketibaan pelancong terus kembali meningkat, Malaysia mungkin mencatatkan kemasukan penduduk jangka masa panjang baharu dalam jumlah yang besar, penghuni sewa jangka masa pendek serta penuntut antarabangsa.

“Ini juga mungkin menyumbang kepada permintaan lebih tinggi untuk hartanah sewa dan memberi peluang kepada pelabur,” tambahnya.

IQI memaklumkan di Kuala Lumpur, sewa meningkat 7.6 peratus berbanding setahun lepas, dengan purata sewa RM2,735 iaitu dua peratus lebih tinggi daripada purata dua tahun (lapan suku) lepas.

“Sewa di Kuala Lumpur masih pada sekitar harga berpatutan semasa COVID-19 kerana kadar sewa masih belum pulih sepenuhnya daripada penurunan semasa era pandemik.

“Purata sewa pada suku pertama 2024 adalah 27 peratus lebih rendah berbanding suku yang sama 2020, sebelum pandemik,” menurutnya.