KUALA LUMPUR: Public Bank Berhad menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Estet Mendiang Tan Sri Dr Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd bagi mengambil alih 44.15 peratus saham dalam kepentingan ekuiti LPI Capital Bhd dengan pertimbangan tunai sebanyak RM1.72 bilion.

Pengambilalihan 44.15 peratus saham tersebut melibatkan saham biasa secara agregat sebanyak 175.9 juta saham dalam LPI.

LPI, syarikat penaja jamin insurans am yang disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia kini mempunyai 21 cawangan di Malaysia, sebuah cawangan di Singapura dan turut beroperasi di Kemboja.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek semasa ucaptamanya dalam majlis menandatangani perjanjian itu berkata, pengambilalihan itu merupakan peluang strategik bagi Public Bank untuk mengembangkan lagi segmen insurans amnya dalam pasaran di Malaysia melalui LPI.

“Ini membolehkan Public Bank untuk turut segera berada dalam pasaran insurans dan memperkukuhkan segmen insurans am di Malaysia sebagai perkhidmatan sampingan yang komprehensif bagi perkhidmatan kewangan dan takaful keluarga.

“Melalui pengambilalihan yang strategik ini, kami akan memperluaskan tawaran produk dan perkhidmatan kami seperti yang dibuat melalui pengambilalihan Public Bank Securities Vietnam Company Limited baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga turut menjelaskan pengabilalihan itu akan memberi peluang peluang jelas bagi bank melangkah ke hadapan bagi merealisasikan visi “Model Perbankan Universal” yang akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan komprehensif.

“Dengan rangkaian sedia ada iaitu lebih 260 buah cawangan Public Bank di seluruh negara, Kumpulan LPI boleh memanfaat dan memperluaskan saluran pemasaran serta mengembangkan perniagaan insurans amnya di Malaysia.

“Selain itu, kami juga boleh memanfaatkan rangkaian jualan dan pemasaran LPI, selain memberi perkhidmatan kami pelanggan LPI.

“Selain menawarkan produk dan perkhidmatan masing-masing, Public Bank dan LPI juga boleh meneroka peluang untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bersepadu baharu, khusus untuk memenuhi keperluan kewangan dan insurans pelanggan kami,” katanya.

Ah Lek juga menjelaskan, cadangan pengambilalihan tersebut melibatkan kelulusan para pemegang saham tidak berkepentingan Public Bank semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan dalam masa yang terdekat.

Beliau juga berkata, sekiranya cadangan pengambilalihan itu diluluskan di mesyuarat tersebut, Public Bank akan memberi tawaran pengambilalihan mandatori  kepentingan ekuiti selebihnya dalam LPI yang belum lagi dimiliki oleh Public Bank. 

“Public Bank telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi cadangan pengambilalihan ini dan pelaksanaan korporat ini dijangka selesai pada suku pertama tahun 2025.

“Sekiranya tiada halangan, cadangan pengambilalihan ini dijangka akan menjadi nilai tambah dan akan menyumbang secara positif kepada perolehan Kumpulan Public Bank pada masa hadapan,” katanya.

Semasa majlis tandatangan perjanjian yang sama, Diona Teh Li Shian, anak perempuan bongsu mendiang Hong Piow juga mengumumkan Estet dan ConTeh akan menawarkan unit tawaran terhad untuk dijual (ROFS) sahamnya dalam Public Bank secara progresif dalam tempoh lima tahun kepada semua pengarah, pemegang saham yang layak dan pekerja Kumpulan Public Bank.