Proton menerima sejumlah 20,000 tempahan model X70 setakat ini sekaligus menjadikan ia model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) paling laris Malaysia.

Menurut satu kenyataan, Proton berkata sejak dilancarkan pada 12 Disember 2018, Proton sudah menyerahkan sejumlah 6,927 unit.

“Pendaftaran model Proton X70 direkodkan pada 2,823 unit pada Februari termasuk seribu unit yang diserahkan kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Proton berkata jumlah tempahan itu jauh melangkaui sasaran syarikat.

Proton berkata berdasarkan angka itu, Proton mendahului pesaing lain dalam pasaran sekaligus menjadikan ia jenama automotif ketiga pilihan rakyat Malaysia.

Proton X70 dijual pada harga bermula RM99,800 sehingga RM123,800 bergantug kepada varian dan spesifikasi.


Sementara itu bagi prestasi keseluruhan pula, Proton terus merekodkan jualan memberansangkan pada Februari sebanyak 5,283 unit, peningkatan 3 peratus perkongsian pasaran kepada 12.7 peratus.

“Bulan Februari adalah bulan singkat dan kebanyakan pengeluar menjangkakan jualan yang rendah susulan cuti Tahun Baru Cina.

“Namun Proton berjaya memecahkan trend tersebut melalui jualan yang meningkat 37 peratus tahun ke tahun.

“Untuk dua bulan pertama 2019, Proton merekodkan peningkatan jualan 42 peratus berbanding 2018,” kata kenyataan itu lagi.