Proton meneruskan momentum positifnya dalam sektor automotif selepas muncul sebagai satu-satunya syarikat automotif yang mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun (y-o-y), berbanding dengan pesaingnya.

MIDF Research berkata syarikat itu mencatat pertumbuhan enam peratus dalam Jumlah Volum Industri (TIV) y-o-y berikutan kereta kebangsaan itu kini mencatatkan prestasi baik dalam industri.

"TIV Perodua y-o-y menguncup 16.4 peratus, Toyota turun 38 peratus, Honda jatuh 41 peratus, Nissan turun 39.4 peratus, Mazda merosot 16.5 peratus manakala jenama lain turun 39.2 peratus," katanya.

Perkongsian pasaran Proton turut menyaksikan peningkatan kepada 16.9 peratus pada Julai daripada 11.8 peratus pada Jun, dengan Perodua kekal di tangga teratas dengan 39.2 peratus pada Julai daripada 34.8 peratus.

Bagi kereta asing yang mencatatkan prestasi terbaik, Honda dan Toyota masing-masing turun daripada 18.7 peratus dan 13.3 peratus kepada 14.8 peratus dan 11.1 peratus.

Sementara itu, Kenanga Research berkata pertumbuhan positif Proton disokong oleh Proton X70 SUV yang popular dan disokong oleh Proton Iriz, Persona dan Exora yang berwajah baharu.

Firma penyelidikan itu juga berkata Proton adalah satu-satunya syarikat automotif yang mencatatkan pertumbuhan berbanding tahun lepas, yang disebabkan oleh cukai sifar.

"Kami mengekalkan sasaran TIV 2019 kami pada 600,000 unit, selari dengan sasaran Persatuan Automotif Malaysia," katanya.

Pada 10.55 pagi, saham berkaitan automotif menyaksikan Bermaz Auto naik satu sen kepada RM2.56 dengan 209,200 saham diniagakan, Tan Chong tidak berubah pada RM1.48 dengan 14,000 saham diniagakan, UMW turun tiga sen kepada RM5.21 dan MBM merosot satu sen kepada RM3.99 dengan 1.27 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA