KUALA SELANGOR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerusi Program Kesediaan Pasarannya telah bekerjasama dengan rakan kongsi di Jerman untuk membawa produk Malaysia untuk dijual di pasaran peruncit tempatan dengan rangkaian 40 cawangan di seluruh republik itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Pemecutan Eksport) MATRADE Sharimahton Mat Saleh berkata kejayaan pemesanan semula produk pencuci mulut popsmalaya Ice Bars keluaran Doluvo Sdn Bhd oleh pembeli di Jerman membuktikan bahawa produk tersebut diterima di pasaran Jerman dan Eropah.

Menurutnya Program Kesediaan Pasaran itu adalah platform yang efektif kepada syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran baharu kerana menawarkan program sokongan yang komprehensif dan menarik untuk melengkapkan syarikat Malaysia yang berkebolehan dengan kemahiran, pengetahuan dan sumber yang diperlukan demi memastikan kejayaan.

"Proses pemilihan yang ketat telah dilaksanakan oleh rakan kongsi bagi memastikan kebolehpasaran produk dan mereka yang disenarai pendek perlu menjalani penilaian yang terperinci dari segi kesediaan mematuhi peraturan termasuk pelabelan dan pembungkusan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan acara pelepasan penghantaran eksport ke Jerman menerusi Program Kesediaan Pasaran MATRADE di sini semalam.

Sharimahton berkata lima unit penyimpanan stok produk popsmalaya Ice Bars yang boleh disimpan lama pada suhu bilik dieksport bagi penghantaran kedua menggunakan kontena 20 kaki muatan penuh selepas cubaan penghantaran awal sebanyak empat palet pada 2021.

Sementara itu, CEO Doluvo, Yasmin Karim berkata melalui program ini, para peserta seperti Doluvo telah menerima akses kepada perisikan pasaran global serta latihan dan pementoran daripada pegawai MATRADE yang berpengalaman serta rakan kongsi.

"Tepat pada masanya apabila MATRADE memperkenalkan program ini dalam keadaan cabaran yang kami hadapi untuk memulihkan perniagaan daripada pandemik. Peserta program diberikan peluang berharga untuk mendapat akses ke pasaran luar negara walaupun kami tidak dapat berada di pasaran secara fizikal," katanya.

Ditubuhkan pada 2016, Doluvo mengeksport produk popsmalaya Ice Bars kepada lebih 10 negara seperti Bahrain, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Perancis, Jerman, Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Brunei, Singapura dan India.

-- BERNAMA