PSA Peugeot Citroen, syarikat automotif gergasi Perancis melaporkan prestasi kewangan terburuk dalam sejarahnya apabila merekodkan kerugian bersih sebanyak lima bilion euro atau hampir 21 bilion ringgit pada tahun 2012.

Peugeot menyalahkan kerugian besar 4.7 bilion euro yang dicatatkan tahun lepas, serta krisis dialami dalam pasaran kereta Eropah.

Pendapatan pengeluar kereta nombor satu di Perancis itu juga jatuh sebanyak 5.2 peratus kepada 55 bilion euro atau 230 bilion ringgit.

Menurut pengerusi yang juga ketua eksekutifnya Philippe Varin, kerugian itu mencerminkan kejatuhan besar-besaran pasaran kereta di rantau Eropah.

Berdasarkan kaji selidik kumpulan industri kereta berpangkalan di Brussels (ACEA), bilangan pendaftaran kereta di Eropah pada tahun lalu susut lebih 8% kepada paras terendah sejak 1995.

Pasaran kereta Perancis pula merosot hampir 14% pada 2012, diakibatkan krisis kewangan yang melanda banyak negara di Eropah, yang merupakan pasaran terbesarnya.

Namun Varin menegaskan bahawa Peugeot Citroen kini sedang melaksanakan program penstrukturan semula syarikat.

Katanya rancangan berkenaan sedang berjalan lancar dan berada di landasan tepat.

Antaranya ialah dengan mengurangkan kakitangan di peringkat atasan.