Agenda Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu dijadikan tunjang setiap inisiatif kementerian atau jabatan di semua negara anggota.

Menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, langkah itu penting bagi memastikan semua peringkat dalam kerajaan dan masyarakat memainkan peranan dalam menjayakan usaha pembangunan rantau itu.

Rafidah berkata, Malaysia boleh menjadi perintis dalam beberapa perkara untuk memastikan agenda ASEAN di peringkat domestik dilaksanakan.

“Selarikan polisi domestik kepada rangka ASEAN kerana kalau tidak buat begitu sampai bila pun kita tidak dapat optimakan potensi ekonomi ASEAN untuk pihak swasta,” katanya dalam satu temu bual eksklusif di pejabat Astro AWANI pada Isnin.

Menurut beliau agenda khas untuk ASEAN perlu diwujudkan di setiap kementerian dan jabatan negara ASEAN.

“Kita juga perlu perkenalkan ASEAN kepada budak-budak sekolah, kolej dan universiti. Kalau tidak, mereka tidak faham ASEAN esok bila mahu mengambil alih,” ujarnya.

Tambah beliau, sektor perkhidmatan juga masih ketinggalan dalam pembangunan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Ini kerana kapasiti pelaksanaan oleh perkhidmatan awam setiap negara dilihat masih rendah.

Justeru beliau berkata halangan pentadbiran seperti ini harus diberi tumpuan demi menjayakan agenda ASEAN.