VIENTIANE: ASEAN perlu mewujudkan tawaran unik dalam usaha meletakkannya sebagai kerjasama blok ekonomi serantau keempat terbesar di peringkat global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ASEAN kini berada di kedudukan kelima dan blok ini perlu memanfaatkan jumlah populasinya sekitar 680 juta orang dalam usaha mengekalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar empat ke lima peratus menjelang 2030.

‘’Pada masa ini kita sedang membangunkan pelan strategik ASEAN Economic Committee (AEC) dan pusingannya setiap lima tahun dan kita kena pastikan apa yang dibuat oleh AEC ini relevan.

‘’Pada masa ini, proses pembangunan pelan strategik AEC bermula 2026 sehingga 2030, kita ada perbincangan di peringkat Senior Offficials Meeting (SOM) dan juga di peringkat Menteri.

‘’Ia berjalan dengan baik dan Insya-Allah kita akan membuat pengumuman pelan strategik AEC untuk 2026 hingga 2030 di bulan Mei 2025, semasa kita (Malaysia) mempengerusikan ASEAN nanti,’’ katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditemui delegasi media Malaysia selepas menghadiri ASEAN Economic Community Council Meeting kali ke-24 di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai keadaan geopolitik dunia ketika ini, Tengku Zafrul berkata ASEAN perlu kekal sebagai sebuah blok yang berkecuali dan perlu terus ‘berdagang dan berkawan’ dengan semua negara.

‘’Kalau lihat daripada segi pertumbuhan, KDNK dunia nampaknya lebih perlahan daripada yang dijangkakan.

‘’Oleh itu kita kena memastikan isu keterangkuman dalam ASEAN terutama dalam agenda kelestarian adalah lebih jelas supaya pelaburan meningkat.

‘’Positifnya, ASEAN, Sekretariat tadi membentangkan ASEAN masih lagi menerima pelaburan yang tertinggi. Masih lagi meningkat pelaburannya berbanding dengan tahun lepas.

‘’Tahun sebelumnya juga meningkat. Tapi kalau kita bandingkan dengan global FDI, menurun. Jadi kita sedang menentang arus. Itu satu perkara yang positif,’’ tambahnya.

Mesyuarat AEC Ke-24 diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, yang berlangsung selama tiga hari, bermula esok.

Pada Jumaat ini, Laos secara rasmi akan menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia.