Pengerusi Hal Ehwal Usahawan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia Ahmad Muzakkir Hamid berkata peruntukan tersebut memberi peluang kepada PMKS dan Perusahaan Kecil (PKS) untuk memperoleh suntikan dana daripada kerajaan bagi mengembangkan perniagaan mereka hingga ke peringkat lebih tinggi.
"Peruntukan yang besar kerana kerajaan sedar PMKS dan PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi negara dan disebabkan itu industri ini diberikan perhatian dalam Belanjawan 2024.
"Langkah tersebut juga memberi nafas baharu kepada PMKS dan PKS mempromosikan serta memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM44 bilion dalam bentuk kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk dimanfaatkan PMKS.
Mengulas lanjut, Ahmad Muzakkir turut menyifatkan peruntukan besar itu merupakan langkah bijak kerajaan untuk membantu PMKS bagi memulihkan perniagaan selepas berdepan COVID-19 dan ekonomi tidak menentu ketika ini.
"PMKS sangat memerlukan modal dan bantuan dana bagi mengembangkan perniagaan selain sebagai cagaran bagi menguruskan perniagaan supaya terus 'hidup'.
"Peruntukan ini diharapkan tiada ketirisan dan disampaikan kepada PMKS dengan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata peruntukan itu juga memberi tanda bahawa kerajaan sedar PMKS dan PKS ini merupakan satu industri yang membuka peluang pekerjaan besar terutamanya kepada golongan muda di negara ini.
"Kerajaan jelas telah mengenal pasti golongan muda ramai terlibat sebagai usahawan disebabkan itu belanjawan kali ini turut diberikan kepada kelompok tersebut.
"Diharapkan PMKS dan PKS mengambil peluang ini dan manfaatnya kerana dalam keadaan sekarang ini ia amat membantu dalam perancangan jangka pendek untuk kelangsungan perniagaan masing-masing," katanya.
-- BERNAMA