KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PetGas) telah memberikan kontrak RM92 juta untuk melaksanakan sambungan saluran paip gas kepada konsortium yang terdiri daripada Carimin Engineering Services Sdn Bhd dan Drill Pipelines Constructions Sdn Bhd.

Kerja itu melibatkan pembinaan kira-kira 10km saluran paip sisi dan stesen pemeteran untuk membekalkan gas asli kepada loji pembuatan kertas milik ND Paper Malaysia (Selangor), yang merupakan sebahagian daripada Nine Dragons Paper Ltd China.

China Nine Dragons yang tersenarai di Hong Kong ialah pengeluar papan kertas terbesar di Asia, dan juga mempunyai kemudahan pembuatan di Bentong, Pahang.

PetGas berhasrat untuk menggunakan kemudahan pembiayaan Islam sedia ada untuk membiayai kos projek itu, yang disasarkan siap pada Ogos 2023.

Carimin Engineering Services ialah unit milik penuh penyedia perkhidmatan minyak dan gas Carimin Petroleum Bhd. - DagangNews.com