KUALA LUMPUR: Malaysia kekal berdaya tahan dan terus berjaya menarik pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global apabila pelaburan diluluskan melonjak kepada RM160 bilion merentas sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama dalam tempoh separuh pertama 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata lonjakan pelaburan itu disokong oleh 2,948 projek pelaburan yang dijangka mencipta kira-kira 79,187 peluang pelaburan baharu.

"Prestasi pelaburan Malaysia yang kukuh sebanyak RM160 bilion, meningkat 18 peratus pada separuh pertama 2024 adalah bukti komitmen kita untuk mewujudkan persekitaran menyokong pelaburan, mesra perniagaan yang memupuk transformasi industri dan pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ekonomi Asean diunjur berkembang 4.6 peratus pada 2024 dan 4.7 peratus pada 2025 berikutan peningkatan kukuh permintaan dalam dan juga luar negara, dan Malaysia berazam untuk memanfaatkan pertumbuhan ini.

"Angka pelaburan diluluskan pada separuh pertama itu mencerminkan penghargaan pelabur terhadap dasar jelas Malaysia yang menyediakan landskap kondusif untuk syarikat berkembang maju.

"Didorong oleh rangka kerja padu kita, seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Nasional dan Strategi Pelaburan Hijau, semakin banyak perniagaan global telah mula menyedari potensi besar Malaysia," katanya.

Beliau berkata MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memasarkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan serantau untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Selain itu, katanya, ini juga bagi memastikan lebih banyak peluang perniagaan untuk PKS dan pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Malaysia.

Menurut MITI, pelaburan domestik menerajui pada separuh pertama 2024, menyumbang 53.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM85.4 bilion.

"Ini adalah petanda jelas pertumbuhan berterusan perniagaan domestik dan keyakinan terhadap dasar ekonomi negara. Manakala pelaburan asing menyumbang 46.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM74.6 bilion," katanya.

Meskipun pelaburan domestik dan asing memainkan peranan penting menyokong ekonomi negara, peningkatan ketara sumbangan pelaburan domestik kepada pertumbuhan negara merupakan petunjuk jelas keyakinan perniagaan tempatan.

Lima negeri teratas yang menarik pelaburan paling banyak di Malaysia ialah Kuala Lumpur (RM37.6 bilion), Selangor (RM35.0 bilion), Kedah (RM31.9 bilion), Pulau Pinang (RM13.1 bilion) dan Johor (RM12.9 bilion).

Kerajaan MADANI yang stabil dan persekitaran mesra perniagaan adalah antara nilai utama daya tarikan Malaysia untuk terus menarik pelaburan asing.

Bagi bahagian pelaburan asing, Austria mendahului sebanyak RM30.1 bilion, diikuti Singapura (RM16.5 bilion), China (RM9.8 bilion), Belanda (RM4 bilion) dan Taiwan (RM2.4 bilion).

Dari segi sektor, pembuatan menerajui pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2024 dengan menarik pelaburan sebanyak RM60.1 bilion, meningkat 34.1 peratus daripada RM44.9 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Ini mencerminkan pemulihan kukuh keyakinan pelabur," katanya.



-- BERNAMA