Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bukanlah tiket untuk isi rumah membuat pinjaman secara bebas kerana hutang semasa isi rumah di negara ini masih berada pada tahap yang tinggi iaitu sekitar 90 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Walaupun pada asasnya penurunan OPR adalah untuk menggalakkan kecairan dan seterusnya isi rumah boleh meminjam dengan mudah dan lebih murah sekaligus mengalakkan perbelanjaan, namun isi rumah perlu berwaspada.

“Kita perlu mengukur hutang yang kita miliki ketika ini, mampu atau tidak kita hendak bayar hutang?” tanya Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Zakariah Abdul Rashid ketika dihubungi Astro AWANI.


“Hutang isi rumah bukan mudah diturunkan kerana kebanyakan hutang adalah hutang jangka panjang seperti untuk pembelian rumah dan kereta.

“Isi rumah perlu memastikan hutang tidak tersasar dari kemampuan sebenar,” katanya.

Dr Zakariah berkata peminjam rumah pertama juga perlu menanti Kadar Asas (BR) oleh bank komersial sebelum membuat keputusan bagi memastikan kadar faedah yang diambil adalah berpatutan susulan penurunan OPR.

“Kita belum tahu berapa penurunan BR oleh bank komersial kerana OPR adalah peratusan rujukan oleh Bank Negara, bank komersial akan menentukan BR mereka dalam masa terdekat.

“Jika benar kos pinjaman (BR) turun, ini perlu disambut baik peminjam rumah pertama,” katanya sambil menambah pinjaman sektor perumahan masih dikawal susulan langkah meredakan pasaran hartanah yang berdepan harga melampau.

Bank Negara pada Rabu mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.


Ini bermakna BR bank komersial akan diturunkan dan menjadikan kos pinjaman lebih murah dalam usaha membekalkan kecairan yang cukup dalam ekonomi.

Beban hutang hartanah berkurang

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Datuk Khor Chap Jen berkata penurunan OPR akan membantu meringankan beban pembeli hartanah dalam membayar pinjaman mereka.

Dalam laporan Bernama, Khor berkata bayaran balik bulanan pembeli bagi pinjaman mereka akan menjadi lebih rendah dan mereka akan mempunyai lebih wang di tangan untuk berbelanja.

"Pengurangan itu juga bermakna lebih ramai pembeli hartanah layak untuk pinjaman rumah dan ini terutamanya akan memberi manfaat kepada pembeli rumah kali pertama," katanya.

Khor berkata pengurangan itu juga akan memberi manfaat kepada pemaju hartanah yang mempunyai tahap kadar hutang yang tinggi, atau merancang untuk membuat pinjaman pada masa akan datang daripada bank berikutan ia akan mengurangkan kos pinjaman.

Kos menjalan perniagaan lebih murah

Sementara itu Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) percaya penurunan OPR akan membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan memberi manfaat kepada pengguna.

Presiden ACCCIM Datuk Ter Leong Yap berkata penurunan OPR merupakan langkah strategi BNM merangsang pasaran.

"Pada tahap tertentu, langkah ini akan mengurangkan sedikit kos menjalankan perniagaan dan ia juga baik kepada pengguna kerana mereka akan mempunyai kuasa beli tambahan.

"Bagaimanapun, ini mungkin akan memberi tekanan kepada ringgit," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan dapatan Laporan Kajian Percukaian PKS ACCCIM 2016 di sini hari ini.

Bila kenaikan OPR seterusnya?

Sementara itu persoalan tertumpu kepada bilakah penurunan OPR seterusnya mungkin dilakukan bank pusat.

Menurut Hong Leong Bank, kenyataan dasar monetari BNM menandakan bahawa langkah seterusnya banyak bergantung kepada petunjuk ekonomi akan datang, sebagai tambahan kepada keadaan monetari dan kewangan.

"Menyedari risiko ke bawah kepada pertumbuhan domestik, yang timbul daripada ketidaktentuan domestik dan cabaran luaran, kami berpandangan pelonggaran dasar seterusnya mungkin dilaksanakan," menurut bank itu dalam satu nota penyelidikan yang dikeluarkan hari ini.

Mesyuarat dasar monetari akan datang dijadual pada 7 Sept, 2016.

Di samping itu, unjuran kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang semakin berkurangan turut memberi lebih peluang BNM untuk menurunkan kadar kepada lebih rendah.